Saturday, February 21, 2015

Melayu Hilang Di Johor?

SITUASI proses permodenan yang telah bermula sejak tahun 1930 telah berlanjutan selepas Malaysia memperoleh kemerdekaan sehingga kini yang mana mewujudkan sistem kapatalisme di kawasan bandar dan penghakisan pemilikan harta orang Melayu khususnya di kawasan bandar besar.

Menurut Pengarah Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Kassim Tukiman, ini ditambah lagi dengan situasi yang berlaku di Johor yang agak liberal apabila turut membenarkan warga asing terutamanya di kalangan rakyat Singapura memiliki harta di negeri ini berikutan kuasa beli mereka besar meskipun tertakluk kepada syarat tertentu terhadap pembelian itu.

“Sejarah juga membuktikan bahawa orang Melayu juga telah memiliki hartanah tetapi ianya telah dijual untuk pembangunan tertentu. Oleh sebab itu telah diwujudkan kawasan lingkaran Melayu di Johor Bahru membabitkan kawasan Kampung Melayu, Kampung Sungai Danga dan sebagainya bagi membolehkan orang Melayu terus memperoleh manfaat pembangunan.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan agar agensi tertentu seperti Perbadanan Johor, Majlis Agama Islam Johor (Maij), Uda Holdings Bhd (Uda) dan lain-lain memainkan peranan secara langsung dalam situasi ini.

“Mereka telah digalakkan agar membeli hartanah seperti premis perniagaan untuk disewakan kepada orang Melayu di kawasan bandar baru supaya orang Melayu dapat menaik taraf dan bersaing dengan keadaan ekonomi,” katanya.

Proses urbanisasi jangan sampai pinggir Melayu

Kassim berkata, namun demikian usaha kerajaan yang turut membina rumah mampu milik hanya dapat dinikmati segelintir golongan di kalangan Melayu disebabkan ketidakmampuan mereka memiliki aset sendiri berikutan harga pasaran semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Suasana kini telah berubah apabila peluang orang Melayu untuk memiliki rumah teres atau rumah atas tanah (landed) semakin berkurang. Mereka kemudiannya beralih memilih rumah flat yang bersesuaian dengan kemampuan mereka sahaja.

“Jika tidak melakukan survival ia turut akan menjejaskan banyak perkara termasuk pola ekonomi, politik dan sebagainya. Keadaan ini telah mulai berlaku seperti di Pontian, Batu Pahat, Muar dan sebagainya apabila kepimpinan turut beralih arah.

“Ini ditambah proses perbandaran pada masa kini turut menambah jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu. Kita tidak menolak pembangunan tetapi proses urbanisasi yang dilakukan jangan sampai menenggelamkan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, isu pemilikan hartanah yang dihadapi di Johor Bahru turut memberi kesan kepada bandar lain di negeri ini termasuklah Kulaijaya, Kota Tinggi, Segamat Kluang, Muar dan sebagainya.

“Penaiktaraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran di kawasan terlibat turut mempengaruhinya berikutan proses urbanisasi ini turut berlaku di kawasan yang sedang membangun.

“Justeru, program Muafakat Johor yang dilakukan kerajaan negeri kini amat digalakkan yang mana penekanannya dizahirkan dalam pengagihan ekonomi, pemilikan dan kehidupan bermasyarakat yang diharap memberi manfaat kepada orang Melayu,” katanya.
Sumber : Sinar harian

Ulasan DPS:
Pihak bertanggungjawab perlu tingkatkan usaha untuk majukan ekonomi bumiputra dan beri kemudahan untuk memiliki hartanah dalam harga mampu milik

No comments:

Post a Comment